Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Tagal di Antara Jabatan Perikanan Sabah dan 3 Buah Jawatankuasa tagal Daerah Ranau

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Tagal di Antara Jabatan Perikanan Sabah dan 3 Buah Jawatankuasa tagal Daerah Ranau

27/05/2026 Off By Web Master

RANAU, 25 Mei 2026 – Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Tagal bersama Jabatan Perikanan Sabah telah diadakan di Kg. Kilimu, Daerah Ranau. Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengarah Perikanan Sabah, Datin Dr. Shuhadah Mustapha.

Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan jabatan, antaranya Tuan Lawrence Kissol Jr. (Timbalan Pengarah Perikanan – Operasi), Puan Dorothy Chung (Ketua Penolong Pengarah – Bahagian Perancangan), Tuan Irman Isnain (Ketua Penolong Pengarah – Bahagian Sumber, Konservasi dan Penyelidikan), Puan Angelene Henry (Ketua Penolong Pengarah – Bahagian Perangkaan dan Komunikasi Korporat), Puan Bernedeth Joseph (Ketua Unit Tagal), Tuan Mazlan Madurin (Penguasa Perikanan Daerah Ranau), serta pegawai-pegawai kanan dan anggota Jabatan dari Ibu Pejabat dan daerah-daerah lain.

Sebanyak tiga Jawatankuasa Tagal yang menandatangani MOU tersebut ialah:
– Tagal Kg. Tiang Lama, diwakili oleh Pengerusi Tuan Joking Balayan
– Tagal Kg. Tumbalang, diwakili oleh Pengerusi Tuan Abi Kindat
– Tagal Kg. Nunuk Ragang 1, diwakili oleh Pengerusi Tuan Raging Daimun Tunggaling

Tagal Kg. Tiang Lama mempunyai keistimewaan tersendiri kerana kawasan sungainya merangkumi Taralamas Canyon, yang menjadi tarikan pelancong untuk menikmati keindahan sungai jernih, terpelihara dengan canyon serta batu-batu semula jadi.

Sementara itu, Tagal Kg. Tumbalang dan Kg. Nunuk Ragang 1 menawarkan kelebihan bagi pengunjung yang ingin menjalankan aktiviti berkhemah di tepi sungai, menjadikan kawasan ini destinasi rekreasi yang menarik.