KURSUS ASAS TERNAKAN IKAN MARIN
22/05/2026 Off By Web Master13 – 17 April 2026 | Stesen Pengembangan Akuakultur Marin Trayong, Tuaran
Jabatan Perikanan Sabah telah menganjurkan Kursus Asas Ternakan Ikan Marin pada 13 hingga 17 April 2026 bertempat di Stesen Pengembangan Akuakultur Marin Trayong, Tuaran. Kursus ini telah disertai peserta yang terdiri daripada pelbagai daerah di seluruh Sabah, termasuk Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud, Kudat, Pitas, Kuala Penyu, Sipitang, Kunak, Tawau, Sandakan, Semporna, dan Kota Marudu.
Penganjuran kursus ini bertujuan untuk memberikan pendedahan asas secara teori dan amali kepada peserta dalam bidang ternakan ikan marin, selaras dengan usaha memperkukuh pembangunan sektor akuakultur negeri.
Secara khusus, objektif kursus adalah seperti berikut:
- Meningkatkan pengetahuan dan kefahaman peserta mengenai prinsip asas akuakultur marin.
- Memperkukuh kemahiran teknikal dalam pengurusan ternakan ikan marin secara sistematik dan berkesan.
- Memberi pendedahan mengenai pemilihan tapak, sistem ternakan serta pengurusan operasi sangkar.
- Meningkatkan kesedaran terhadap amalan biosekuriti dan pengurusan kesihatan ikan.
- Memupuk kesedaran mengenai kepentingan pengurusan kewangan dalam perusahaan akuakultur.
- Menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti ekonomi berasaskan akuakultur.
Kursus telah dimulakan pada 13 April 2026 dan sepanjang tempoh kursus, para peserta telah mengikuti pelbagai modul latihan yang dikendalikan oleh pegawai dan pakar dalam bidang berkaitan.
Antara pengisian utama termasuk sesi ceramah oleh Puan Malisa Manson, Ketua Pusat, Pusat Pembenihan Ikan Marin Sabah, Tg. Badak, Tuaran yang merangkumi topik Halatuju Akuakultur dan Status Ternakan Ikan Marin di Sabah, Pengenalan kepada Ikan dalam Sangkar, Biologi Ikan serta Pengurusan Ternakan Ikan dalam Sangkar.
Selain itu, Cik Anathasia Marcus, Ketua Unit Akuakultur Marin dari Bahagian Pembangunan Akuakultur Marin, Manggatal turut menyampaikan modul berkaitan pemilihan tapak ternakan, sistem ternakan (net dan sangkar), serta penerangan pakej insentif berserta sesi soal jawab.
Kursus ini turut disokong dengan penyampaian ceramah oleh Dr. Noorsyarinah binti Sanudin dari Bahagian Biosekuriti, Kompleks Perikanan Likas yang membentangkan topik berkaitan pengurusan penyakit ikan marin.
Dalam usaha penambahbaikan berterusan, Puan Ainun Jariah Jeropakal, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Modal Insan turut mengadakan sesi soal jawab bersama para peserta bagi mendapatkan maklum balas serta cadangan penambahbaikan program pada masa hadapan.
Sebagai nilai tambah kepada kursus, pihak penganjur juga telah menjemput pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Agrobank Cawangan Tuaran untuk menyampaikan taklimat berkaitan pengurusan dan pembiayaan kewangan. Taklimat mengenai caruman PERKESO bagi nelayan, penternak, pengusaha, dan isteri golongan sasar bertujuan memastikan mereka mendapat perlindungan keselamatan sosial di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) atau dikenali sebagai LINDUNG Kendiri. Taklimat ini juga sedikit sebanyak telah memberi pendedahan kepada peserta mengenai aspek perancangan kewangan yang efektif dalam memulakan serta mengembangkan perusahaan akuakultur.
Pada hari keempat, peserta telah dibawa mengadakan lawatan teknikal ke Pusat Pembenihan Ikan Marin Sabah, Tg. Badak, Tuaran bagi memberikan pendedahan secara langsung terhadap operasi pusat serta komoditi ternakan yang diusahakan.
Majlis penutupan kursus telah disempurnakan oleh Puan Ainun Jariah Jeropakal. Para peserta yang telah menamatkan kursus dengan jayanya telah dianugerahkan sijil penyertaan sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan penyertaan mereka.


