TAMBUNAN, 26 Mei 2026 – Jabatan Perikanan Sabah telah mengadakan Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan kepada sepuluh (10) Jawatankuasa Tagal MOU Daerah Tambunan. Majlis tersebut berlangsung di Mini Dewan Pejabat Perikanan Tambunan yang telah disempurnakan oleh Tuan Lawrence Kissol Jr. selaku Timbalan Pengarah Perikanan (Operasi).
Majlis penyerahan bantuan peralatan tagal tersebut melibatkan sumbangan kepada sepuluh (10) Jawatankuasa Tagal MOU iaitu Kg. Bambangan, Kg. Dabata, Kg. Kaingaran, Kg. Kotonobon, Kg. Kuala Monsok, Kg. Monsok Tengah, Kg. Monsok Ulu, Kg. Monsorulung, Kg. Tabilong, dan Kg. Tontolob Liwan.
Antara bantuan peralatan yang diserahkan untuk menyokong aktiviti pengurusan tagal adalah papan tanda, tong ais, tong sampah, lampu solar, pukat, rambat, makanan ikan, tikar kanvas, kerusi plastik, jaket keselamatan, dan pelampung keselamatan.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Jawatankuasa Tagal Tradisi dari beberapa buah kampung, iaitu Kg. Kuyungon, Kg. Pahu, Kg. Tikolod, Kg. Rantai Bundu, dan Kg. Tiga Bundu.
Selain itu, satu sesi taklimat dan soal jawab telah disampaikan oleh Puan Bernedeth Joseph selaku Ketua Unit Tagal, Jabatan Perikanan Sabah.
Dalam ucapannya, Tuan Lawrence menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua ahli jawatankuasa Tagal MOU atas kerjasama jitu dalam menjaga kelestarian ekosistem sungai melalui pengurusan sistem tagal.
Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan diucapkan kepada Tuan Dennis Anthony selaku Pengerusi Pelaksana Majlis merangkap Penguasa Perikanan Daerah Tambunan, serta seluruh warga Pejabat Perikanan Daerah Tambunan dan kawasan sekitarnya atas kejayaan melaksanakan majlis penyerahan tersebut dengan lancar dan jayanya.