KURSUS ASAS TERNAKAN IKAN AIR TAWAR DALAM KOLAM

KURSUS ASAS TERNAKAN IKAN AIR TAWAR DALAM KOLAM

07/06/2026 Off By Web Master

20 – 23 April 2026 | Stesen Pengembangan Akuakultur Air Tawar, Tasik Buyut, Kota Marudu

Jabatan Perikanan Sabah telah berjaya menganjurkan Kursus Asas Ternakan Ikan Air Tawar dalam Kolam pada 20 hingga 23 April 2026 bertempat di Stesen Pengembangan Akuakultur Air Tawar, Tasik Buyut, Kota Marudu. Kursus ini bertujuan memberi pendedahan asas berkaitan pengurusan dan pembangunan ternakan ikan air tawar kepada peserta khususnya dalam aspek teknikal, pengurusan ladang serta pemasaran hasil akuakultur.

Peserta kursus terdiri daripada beberapa daerah di seluruh Sabah antaranya Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Beaufort, Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu, Pitas, Keningau, Ranau, Telupid, dan juga Tenom. Penyertaan daripada pelbagai daerah ini mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap industri akuakultur air tawar dalam kalangan masyarakat di negeri Sabah.

Kursus bermula pada 21 April 2026 dengan modul pertama yang telah disampaikan oleh Encik Tony Ayung Dainal, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Akuakultur Air Tawar menerusi tajuk Pengenalan Akuakultur Air Tawar di Sabah. Sesi diteruskan dengan ceramah bertajuk Pemilihan Tapak Ladang Akuakultur Air Tawar yang turut disampaikan oleh beliau.

Seterusnya, Encik David Siapat, Ketua Stesen, Stesen Pengembangan Akuakultur Air Tawar, Tasik Buyut, Kota Marudu telah menyampaikan ceramah bertajuk Pembinaan Kolam dan Reka Bentuk. Ceramah berikutnya disampaikan oleh Encik Mohd Nooramin bin Kemin dari Bahagian Pembangunan Akuakultur Air Tawar berkaitan Pengurusan Kolam Ternakan Ikan Air Tawar.

Modul kelima pula telah disampaikan oleh Encik Nicktino Surubi dengan tajuk Penyelenggaraan Kolam Ternakan Ikan Air Tawar, manakala Encik Rex Neville Johnny menyampaikan ceramah bertajuk Penuaian dan Pemasaran Hasil Ternakan Ikan Air Tawar. Kedua-dua penceramah merupakan kakitangan dari Stesen Pengembangan Akuakultur Air Tawar, Tasik Buyut, Kota Marudu.

Pada hari kedua kursus, sesi dimulakan dengan ceramah oleh Encik Mohd Nooramin bin Kemin bertajuk Pembiakan Ikan Air Tawar. Seterusnya, Encik Nicktino Surubi menyampaikan ceramah berkaitan Penyediaan Kertas Kerja dan Rancangan Perniagaan.

Selepas sesi teori, para peserta turut didedahkan dengan latihan amali yang disampaikan oleh Encik Johole Majuntin. Antara amali yang dijalankan ialah Pembiakan Ikan Air Tawar (Common Carp dan Tilapia), Pemindahan Hasil Pembiakan Ikan Air Tawar, serta Pengurusan Kualiti Air dan Pengapuran Kolam Tanah.

Pada hari terakhir kursus, taklimat dimulakan dengan ceramah berkaitan Program Bantuan Akuakultur Air Tawar yang disampaikan oleh Encik Rex Neville Johnny. Seterusnya, Dr. Noorsyarinah binti Sanudin dari Bahagian Biosekuriti telah menyampaikan ceramah bertajuk Penyakit Ikan dan Rawatan.

Taklimat terakhir pula telah disampaikan oleh Encik Farhan Nazaie bin Nasib dari Bahagian Biosekuriti dengan tajuk Program Biosekuriti dan Pensijilan MyGAP.

Majlis seterusnya diakhiri dengan Majlis Perasmian Penutupan Kursus yang telah disempurnakan oleh Encik David Siapat, Ketua Stesen, Stesen Pengembangan Akuakultur Air Tawar, Tasik Buyut, Kota Marudu.

Penganjuran kursus ini diharap dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta dalam bidang akuakultur air tawar serta membantu melahirkan lebih ramai usahawan akuakultur yang berdaya saing di negeri Sabah.