KURSUS ASAS PEMBUATAN BOT GENTIAN KACA 2026
07/06/2026 Off By Web MasterKE ARAH MEMPERKASA NELAYAN TEMPATAN MELALUI KURSUS ASAS PEMBUATAN BOT GENTIAN KACA 2026
KINARUT, PAPAR, 17 April 2026 – Seramai 24 orang peserta daripada pelbagai daerah di Sabah telah berjaya menamatkan Kursus Asas Pembuatan Bot Gentian Kaca Tahun 2026 yang berlangsung selama lima (5) hari bermula pada 13 April 2026 di Pusat Latihan dan Kemahiran Perikanan Sabah, Kinarut.
Kursus edisi kali ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan peserta yang mewakili pelbagai zon di Sabah, antaranya:
- Pantai Barat dan Selatan: Papar, Kota Kinabalu, Kota Belud, Beaufort, dan Kuala Penyu
- Zon Utara: Kudat dan Kota Marudu
- Pantai Timur: Lahad Datu
Sepanjang tempoh kursus, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai kemahiran teknikal berkaitan pembuatan bot gentian kaca, bermula daripada penyediaan acuan, teknik laminasi resin, sehingga kepada proses kemasan akhir. Latihan intensif ini bertujuan meningkatkan pengetahuan serta kemahiran praktikal peserta agar mampu mengaplikasikan teknologi moden dalam sektor perikanan, khususnya dalam pembinaan dan penyelenggaraan bot.
Kepelbagaian latar belakang peserta dari seluruh Negeri Sabah membuktikan bahawa industri perikanan dan kelautan terus menjadi antara nadi utama ekonomi masyarakat di Sabah. Dengan tamatnya kursus ini, para peserta kini diiktiraf sebagai tenaga mahir asas yang berupaya memanfaatkan teknologi gentian kaca dalam aktiviti perikanan di daerah masing-masing, selaras dengan usaha kerajaan untuk melahirkan komuniti nelayan yang lebih berilmu, berdaya saing, dan kompeten.
Majlis perasmian penutupan dan penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Modal Insan, Puan Ainun Jariah Jeropakal. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan kepentingan penguasaan ilmu pembuatan bot gentian kaca dalam kalangan penduduk tempatan.
Menurut beliau, selain meningkatkan aspek keselamatan di laut melalui pembinaan bot yang lebih berkualiti dan tahan lasak, kemahiran ini juga berpotensi menjadi pemangkin kepada peningkatan ekonomi keluarga melalui peluang dalam sektor pembuatan serta pembaikan bot.
Majlis yang bermula pada jam 10.30 pagi itu menandakan berakhirnya latihan intensif yang telah berlangsung sejak 13 April 2026, sekali gus menjadi satu langkah penting ke arah memperkasakan komuniti nelayan tempatan melalui pembangunan kemahiran teknikal yang relevan dan berimpak tinggi.


