Kursus Asas Pemprosesan Ikan Marin 2026
07/06/2026 Off By Web MasterKursus Asas Pemprosesan Ikan Marin 2026 Cungkil Bakat Usahawan Baharu
4 – 8 Mei 2026 | Pusat Latihan dan Kemahiran Perikanan Sabah, Kinarut, Papar
Jabatan Perikanan Sabah, melalui Bahagian Pembangunan Modal Insan (BPMI) telah berjaya menganjurkan Kursus Asas Pemprosesan Ikan Marin pada 4 hingga 8 Mei 2026 bagi memberi pendedahan dan kemahiran kepada peserta dalam penghasilan produk berasaskan ikan seperti keropok lekor, bebola ikan dan kek ikan.
Kursus selama lima hari ini telah menghimpunkan peserta dari 10 daerah yang terdiri daripada Kudat, Kota Marudu, Pitas, Kota Kinabalu, Ranau, Tuaran, Penampang, Tawau, Kota Belud dan Papar. Program ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan pengetahuan dalam bidang pemprosesan hasil perikanan, malah turut membuka peluang kepada peserta untuk menjana pendapatan melalui nilai tambah produk.
Sepanjang kursus berlangsung, para peserta didedahkan dengan pelbagai teknik penting termasuk pemilihan bahan mentah, penyediaan adunan, kawalan kebersihan dan keselamatan makanan serta teknik pembungkusan produk yang lebih menarik dan berdaya saing di pasaran. Sesi latihan amali yang dijalankan turut memberi peluang kepada peserta untuk menghasilkan sendiri produk yang dipelajari dengan bimbingan tenaga pengajar berpengalaman.
Kesungguhan dan semangat para peserta jelas dapat dilihat apabila mereka begitu teruja dan tekun sepanjang sesi pembelajaran dijalankan. Suasana latihan menjadi lebih meriah dengan kerjasama aktif peserta yang saling bertukar idea dan pengalaman dalam usaha memperkukuhkan kemahiran keusahawanan masing-masing.
Penghulu kursus, Puan Noor Aidaharul Hawati binti Abdul Razak dari daerah Pitas turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas usaha berterusan dalam menyediakan platform latihan yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat khususnya dalam bidang pemprosesan makanan berasaskan hasil laut.
Majlis penutupan kursus diserikan dengan penyampaian sijil penyertaan oleh Puan Ainun Jariah Jeropakal, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Modal Insan yang mewakil Pengarah Perikanan Sabah, diiringi oleh Ketua Pusat Latihan dan Kemahiran Perikanan Sabah, En. Salleh Bin Mudin serta kakitangan PLKPS Puan Betty Bangon dan Puan Aineh Jumat.
Sebagai simbol semangat dan keyakinan terhadap ilmu yang diperoleh, para peserta dengan penuh bersemangat melaungkan slogan “Kami Usahawan Berjaya”, sekaligus mencerminkan azam mereka untuk terus maju menjadi usahawan berdaya saing dalam bidang pemprosesan hasil perikanan. Penganjuran kursus seperti ini diharap dapat melahirkan lebih ramai usahawan perikanan tempatan yang berkemahiran secara tidak langsung dapat memajukan industri hiliran perikanan di negeri Sabah pada masa hadapan.

