Hari Peladang, Penternak & Nelayan Sabah 2023 (HPPNS)

Hari Peladang, Penternak & Nelayan Sabah 2023 (HPPNS)

31/07/2023 Off By Web Master

Perayaan Hari Peladang, Penternak & Nelayan Sabah 2023 (HPPNS) merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah dengan tujuan untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada para peladang, penternak dan nelayan di negeri ini. HPPNS 2023 julung kalinya diadakan di Wisma Pertanian Sabah, Kota Kinabalu pada 27 – 30 Julai 2023 yang telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Timbalan Ketua Menteri Sabah I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Dr. Jeffrey G. Kitingan.
Pelbagai acara diadakan seperti pameran Jabatan/Agensi kerajaan dan Swasta, Festival Agromakanan, Pameran Ternakan Hidup, Pameran Teknologi dan jualan usahawan tani. HPPNS ini turut diadakan bertujuan untuk mempromosikan teknologi, produk dan penemuan-penemuan yang terkini yang dihasilkan.

Gerai Festival Agromakanan Sabah 2023 yang dipengerusikan oleh Jabatan Perikanan Sabah dengan kerjasama Jabatan dan Agensi di bawah kementerian seperti Jabatan Pertanian Sabah, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, Ko-Nelayan dan Koperasi Pembangunan Desa (KPD) turut mempromosikan pelbagai jualan hasil perikanan, pertanian dan penternakan.

Selain daripada penjualan hasil perikanan laut dan akuakultur segar dan dimasak, hasil penternakan, hasil pertanian serta produk-produk usahawan, terdapat pelbagai aktiviti menarik turut diadakan di Gerai Festival Agromakanan Sabah seperti demonstrasi daripada jabatan/agensi, pertandingan memasak, pertandingan mewarna, kuiz, senamrobik dan diselangi dengan acara karaoke terbuka sebagai hiburan para pengunjung.

Sepanjang tempoh penganjuran HPPNS, seramai lebih 14,000 orang pengunjung telah datang melawat dan memeriahkan acara pameran, jualan produk dan makanan serta pelbagai aktiviti yang telah dirancang. Semoga berjumpa lagi pada Perayaan HPPNS tahun 2024.