Pameran Sempena Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang Tahun 2026

Pameran Sempena Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang Tahun 2026

22/05/2026 Off By Web Master

PENAMPANG, 16 Mei — Jabatan Perikanan Sabah telah menyertai Pameran dan Jualan Produk Sempena Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang Tahun 2026 yang berlangsung di Buhavan Square, Penampang.

Program tersebut telah dirasmikan oleh YB Timbalan Ketua Menteri III, Merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan & Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick dan mendapat sambutan meriah daripada masyarakat setempat serta pengunjung yang hadir sempena sambutan Pesta Kaamatan.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan di gerai pameran Jabatan Perikanan Sabah menarik minat pengunjung. Antaranya ialah promosi jualan produk hiliran perikanan, ikan hiasan dan baja ikan yang diusahakan oleh pengusaha bimbingan Jabatan Perikanan Sabah. Aktiviti interaktif seperti teka berat ikan dan teka jumlah baja turut mendapat perhatian ramai, di mana pengunjung berpeluang memenangi hadiah menarik yang disediakan pihak Jabatan.

Selain Jabatan Perikanan Sabah, pelbagai jabatan dan agensi lain turut terlibat dalam pameran dan promosi jualan seperti Majlis Perbandaran Penampang, Jabatan Pertanian Sabah, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Lembaga Industri Getah Sabah, Lembaga Pertubuhan Peladang, Pejabat Kesihatan Penampang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, dan Mahkamah Anak Negeri Penampang turut.

Kemuncak sambutan Pesta Kaamatan di daerah Penampang adalah pertandingan Unduk Ngadau yang sentiasa menjadi tarikan utama setiap kali sambutan Kaamatan diadakan.

Penyertaan Jabatan Perikanan Sabah dalam program seumpama ini dapat memperkukuhkan hubungan antara jabatan, agensi lain dan masyarakat selain meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan pemeliharaan sumber perikanan serta pembangunan industri perikanan di Sabah.