Program Pelepasan Benih Ketam Bakau Di Kampung Kuala Abai, Kota Belud

Program Pelepasan Benih Ketam Bakau Di Kampung Kuala Abai, Kota Belud

08/06/2023 Off By Web Master

KAMPUNG KUALA ABAI, KOTA BELUD, 6 Jun 2023 – Sebanyak 1108 ekor benih ketam bakau (Scylla paramamosain) telah dilepaskan di Kampung Kuala Abai, Kota Belud, menerusi Program Pelepasan Benih Ketam Bakau. Benih ketam bakau hijau yang dilepaskan adalah berukuran diantara 1 cm hingga 3.5 cm lebar karapas dan berumur 56 hari (8 minggu) selepas penetasan. Induk ketam bakau tersebut juga telah diperolehi daripada kawasan yang sama.

Salah satu objektif program ini adalah untuk pemuliharaan sumber ketam bakau. Program ini telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Perikanan Sabah En. Azhar bin Kassim dan Pegawai Daerah Kota Belud, Tuan Haji Bakri bin Haji Nanun. Turut hadir dalam program ini adalah pegawai-pegawai kanan serta kakitangan Jabatan yang lain.

Program pelepasan umum di Kota Belud, ini merupakan program pertama dilaksanakan di daerah ini dan merupakan komitmen jabatan dalam menjaga ekosistem dan biodivesiti spesis asal ketam bakau di kawasan ini.

Proses pembenihan ketam bakau ini telah dilaksanakan di Pusat Pembenihan Ikan Marin Sabah (PPIMS), Tg. Badak, Tuaran oleh En. Mohd Fadzlini bin Ghani (Ketua Unit Pembenihan Krustasia) yang turut dibantu oleh En. Kenney Lessley Joanes. Unit ini telah ditubuhkan pada 4 Ogos 2020 yang menfokuskan untuk pembenihan ketam bakau yang terdapat di Sabah.

Diharapkan program pelepasan benih ketam dapat diteruskan pada masa akan datang di kawasan yang lain. Dalam masa yang sama, program pembenihan ketam ini dapat dikembangkan kepada spesis ketam yang lain. Untuk mendapatkan gambar sebenar sumber ketam, kajian lanjut dan susulan perlu untuk dilaksanakan di masa hadapan.