Kunak, 5 Oktober 2026 | Jabatan Perikanan Sabah terus komited memperkukuh pembangunan Ekonomi Laut Biru (Blue Economy) sebagai salah satu pendekatan strategik dalam memastikan sektor perikanan dan akuakultur negeri terus produktif, berdaya saing dan mampan.
Dalam sesi temu bual khas bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM), Pengarah Perikanan Sabah mengupas hala tuju serta strategi Jabatan Perikanan Sabah dalam membangunkan potensi sektor perikanan dan akuakultur, khususnya di kawasan Pantai Timur Sabah meliputi Tawau, Semporna dan Lahad Datu.
Antara perkara yang diketengahkan adalah:
– Strategi pembangunan ekonomi laut biru dalam tempoh lima tahun akan datang; – Usaha menangani kekangan teknologi, modal, infrastruktur, sumber manusia dan pasaran; – Pengembangan potensi akuakultur, ternakan udang dan ikan serta pembangunan unjam laut dalam; – Pengukuhan industri hiliran dan rantaian nilai bagi meningkatkan pendapatan komuniti nelayan serta pengusaha kecil; dan – Langkah jangka panjang bagi memastikan sektor perikanan kekal produktif, berdaya tahan terhadap perubahan iklim serta mampan.
Pembangunan Ekonomi Laut Biru bukan sekadar meningkatkan hasil perikanan, tetapi turut memberi penekanan kepada nilai tambah, inovasi, kelestarian sumber dan kesejahteraan komuniti pesisir.
Jabatan Perikanan Sabah akan terus memperkukuh pendekatan pembangunan yang seimbang antara pertumbuhan ekonomi, pemerkasaan komuniti dan pemuliharaan sumber marin demi masa depan sektor perikanan Sabah yang lebih mampan.