KOTA KINABALU, 19 Januari 2026 – Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar hari ini mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Perikanan Likas.
Lawatan tersebut bertujuan mendengar penjelasan serta mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai struktur dan fungsi Jabatan Perikanan Sabah, selain mengenal pasti isu serta mencari penyelesaian bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan jabatan berkenaan.
Dalam lawatan itu, Jamawi diberikan taklimat oleh Pengarah Perikanan Sabah, Datin Dr. Shuhada Mustapha dan Penolong Pengarah Kanan Biosekuriti, Matlan @ Abdul Rahim Thaufeck bertempat di Bilik Mesyuarat Utama.
Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap II kementerian, Maria David Edick.
Dalam ucapannya, Jamawi menegaskan hasrat kementerian untuk merakyatkan perkhidmatan, justeru semua agensi di bawah kementerian perlu melaksanakan amanah tersebut secara menyeluruh.
Beliau turut memaklumkan bahawa kakitangan di tiga agensi utama iaitu Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan SAFMA tidak bersaing, sebaliknya saling melengkapi antara satu sama lain agar setiap fungsi dan peranan yang dilaksanakan dapat memberi manfaat maksimum kepada rakyat.
Jamawi turut meminta Jabatan Perikanan supaya menyediakan keperluan seperti benih ikan dan input berkaitan bagi menyokong pelaksanaan program Jelajah Kebun Dapur yang akan dilaksanakan kelak.