Kursus Mengendalikan Dron untuk Kerja Tanah Siri 2/2025

Kursus Mengendalikan Dron untuk Kerja Tanah Siri 2/2025

30/10/2025 Off By Web Master

25 – 28 Ogos 2025 | Pusat Latihan dan Kemahiran Perikanan Sabah, Kinarut, Papar

Jabatan Perikanan Sabah melalui kerjasama antara Bahagian Latihan dan Kemajuan Kerjaya serta Bahagian Penggunaan Tanah dan Alam Sekitar telah menganjurkan Kursus Mengendalikan Dron untuk Kerja Tanah Siri 2/2025 pada 25 hingga 28 Ogos 2025 bertempat di Pusat Latihan dan Kemahiran Perikanan Sabah, Kinarut, Papar.

Kursus ini disertai oleh seramai 15 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Jabatan Perikanan Sabah daripada pelbagai bahagian dan daerah seperti Bahagian Pembangunan dan Pengurusan Wilayah, Pejabat Perikanan Daerah Sandakan, Pejabat Perikanan Daerah Kinabatangan, Pejabat Perikanan Daerah Beluran, Pejabat Perikanan Daerah Beaufort, Pejabat Perikanan Daerah Sipitang, Pejabat Perikanan Daerah Kuala Penyu, dan juga Pejabat Perikanan Daerah Papar. Penganjuran kursus ini bertujuan untuk memberi pendedahan asas teori dan amali kepada peserta mengenai prinsip asas penerbangan dron, peraturan penggunaan dron di Malaysia serta aspek keselamatan operasi di lapangan.

Selain itu, kursus ini turut bertujuan untuk:

  • Meningkatkan kemahiran teknikal peserta dalam mengendalikan dron bagi tujuan pemetaan, pemantauan kawasan akuakultur, dan pengurusan sumber perikanan.
  • Membangunkan keupayaan anggota jabatan dalam menggunakan teknologi dron sebagai alat sokongan kerja tanah seperti tinjauan lokasi, penilaian habitat serta pemantauan alam sekitar.
  • Menggalakkan penggunaan teknologi terkini dalam aktiviti penyelidikan, pembangunan, dan penguatkuasaan bagi meningkatkan kecekapan serta ketepatan pengumpulan data lapangan.
  • Menyediakan asas kepada peserta yang berminat untuk melanjutkan latihan ke tahap profesional bagi memperoleh Sijil Kompetensi Mengendalikan Dron (RCoP) di bawah pengiktirafan Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM).

Sepanjang empat hari pelaksanaan kursus, peserta telah mengikuti sesi teori dan latihan amali, yang merangkumi pengenalan kepada komponen dron, peraturan penerbangan, asas pemetaan udara serta simulasi operasi sebenar di lapangan yang telah diajarkan sendiri oleh Encik Mohd Zamani Nayan @ Sukardi, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penggunaan Tanah dan Alam Sekitar bersama-sama pembantu jurulatih daripada Pejabat Perikanan Daerah Papar, Puan Dg. Roziah binti Matsalleh.

Majlis penutupan kursus telah disempurnakan oleh Puan Ainun Jariah Jeropakal, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Latihan dan Kemajuan Kerjaya, yang turut menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta. Dalam ucapan beliau, beliau menekankan kepentingan penguasaan teknologi dron sebagai salah satu kemahiran baharu yang dapat memperkukuh pelaksanaan tugas lapangan di Jabatan Perikanan Sabah sejajar dengan kemajuan teknologi semasa.

Penganjuran kursus ini diharap dapat meningkatkan kecekapan dan profesionalisme anggota jabatan dalam melaksanakan kerja-kerja pemantauan, penguatkuasaan dan penyelidikan, seterusnya menyokong usaha Jabatan Perikanan Sabah ke arah pengurusan sumber perikanan yang lebih mampan dan berasaskan teknologi.