Unit Penguatkuasaan Pangkalan Utama Wilayah Tawau telah melaksanakan satu siri operasi yang dinamakan Ops. Todak di daerah Semporna.

Unit Penguatkuasaan Pangkalan Utama Wilayah Tawau telah melaksanakan satu siri operasi yang dinamakan Ops. Todak di daerah Semporna.

26/11/2024 Off By Web Master

21/11/2024, Semporna – Unit Penguatkuasaan Pangkalan Utama Wilayah Tawau telah melaksanakan satu siri operasi yang dinamakan Ops. Todak di daerah Semporna. Operasi kali ini melibatkan gabungan empat daerah di bawah Pangkalan Utama Wilayah Tawau iaitu daerah Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Kunak yang mana operasi ini diketuai oleh Ketua Pangkalan Utama Wilayah Tawau AFO. Saifuddin Hj. Husin dan 09 anggota Penguatkuasa Perikanan Pangkalan Utama Wilayah Tawau.

Objektif perlaksanaan operasi ini adalah bagi memastikan semua aktiviti perikanan di daerah Semporna sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan agar sumber perikanan sentiasa terpelihara dari masa ke semasa. Di samping itu kesedaran awam kepada para penjual dan orang awam berkenaan Undang-undang dan Peraturan yang perlu dipatuhi sepertimana di dalam Akta Perikanan 1985, Peraturan-peraturan Perikanan (pengawalan spesies ikan yang terancam) 1999 dan CITEs (akta 686) juga turut dilaksanakan.

Semasa operasi dilaksanakan terdapat rampasan ikan pelbagai jenis dianggarkan seberat 25kg yang disyaki telah ditangkap dengan menggunakan bahan letupan atas kesalahan di bawah Seksyen 26 Akta Perikanan 1985, turut dirampas 30 biji kima yang dipercayai dalam spesies kima gergasi (giant clam Tridacna Squamosa) seperti dalam subperaturan 2 peraturan-peraturan perikanan (pengawalan spesies ikan yang terancam) 1999 dan juga 12 biji soft coral atas kesalahan di bawah Seksyen 27 dalam Akta yang sama.

Jabatan Perikanan Sabah menerusi Unit Penguatkuasaan Pangkalan Utama Wilayah Tawau mengingatkan kepada semua pengusaha dalam Industri Perikanan dan orang ramai agar tidak melakukan sebarang kesalahan yang melanggar undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan atau terpaksa berhadapan dengan tindakan tegas. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat yang boleh membantu Jabatan Perikanan Sabah dalam melaksanakan penguatkuasaan supaya tampil menyalurkan maklumat berkaitan ke Pejabat Perikanan yang berhampiran.