23/08/2024, Tawau – Unit Penguatkuasaan Pangkalan Utama Wilayah Tawau telah melaksanakan satu siri operasi yang dinamakan Ops. Kirai di Pasar Ikan Tawau. Operasi ini diketuai oleh Pegawai Wilayah Tawau En. Mohammad Rizal Socradji bersama Ketua Pangkalan Utama Wilayah Tawau dan 8 anggota Penguatkuasa Perikanan Pangkalan Utama Tawau.
Pemeriksaan dijalankan ke atas semua meja yang menjual hasil perikanan di Pasar Ikan Tawau dalam masa yang sama memberi kesedaran awam kepada para penjual dan orang awam berkenaan Undang-Undang dan Peraturan yang perlu dipatuhi seperti yang terkandung di dalam Akta Perikanan 1985, Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan spesies ikan yang terancam) 1999 dan CITES (akta 686).
Dalam operasi yang sama terdapat rampasan ikan yang disyaki ditangkap dengan bahan letupan atas kesalahan di bawah Seksyen 26 Akta Perikanan 1985 dan turut dirampas isi kima yang dipercayai dalam spesies kima gergasi (Tridacna squamosa) seperti dalam sub-peraturan 2 Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan spesies ikan yang terancam) 1999 dalam akta yang sama.
Orang ramai terutamanya pengusaha dalam industri perikanan diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan dalam memastikan sumber perikanan sentiasa terpelihara dari masa ke semasa.