KURSUS ASAS TERNAKAN KETAM BAKAU PERKASA PENGETAHUAN DAN KEMAHIRAN PESERTA
21/07/2026 Off By Web MasterTUARAN, 11 – 15 Mei 2026 | Bahagian Pembangunan Modal Insan, Jabatan Perikanan Sabah telah berjaya menganjurkan Kursus Asas Ternakan Ketam Bakau pada 11 hingga 15 Mei 2026 bertempat di Stesen Pengembangan Akuakultur Marin, Trayong, Tuaran. Kursus ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan serta kemahiran peserta mengenai teknologi ternakan ketam bakau secara mampan, di samping melahirkan lebih ramai usahawan akuakultur yang berdaya saing.
Sepanjang lima hari kursus berlangsung, para peserta telah mengikuti pelbagai sesi teori yang merangkumi biologi dan spesies ketam bakau, pemilihan tapak dan sistem ternakan, pengurusan air dan pemakanan, pengurusan penyakit serta kawalan kanibalisme, teknik penuaian dan penggredan hasil, selain pendedahan kepada analisis kos, penyediaan kertas kerja serta bajet operasi. Peserta turut diberikan penerangan mengenai pakej insentif dan bantuan yang disediakan oleh Jabatan Perikanan Sabah bagi menyokong pembangunan industri akuakultur negeri.
Bagi melengkapkan pembelajaran secara praktikal, peserta telah menjalani sesi amali di Pusat Pembenihan Ikan Marin Sabah (PPIMS), Tanjung Badak, Tuaran. Antara aktiviti yang dijalankan ialah pemeriksaan kualiti air, pengenalan sistem hatcheri krustasia, teknik pemilihan induk, serta pengendalian dan pengikatan ketam bakau mengikut prosedur yang betul. Sesi amali ini memberi peluang kepada peserta untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam situasi sebenar di lapangan.
Kursus ini turut diserikan dengan perkongsian ilmu daripada beberapa agensi strategik seperti PERKESO, AGROBANK dan Taman-Taman Sabah yang memberi pendedahan berkaitan perlindungan sosial, kemudahan pembiayaan serta aspek pemeliharaan sumber semula jadi dalam pembangunan industri akuakultur.
Pada hari terakhir, peserta mengikuti sesi soal jawab, penilaian kursus serta majlis penutupan yang disusuli dengan penyampaian sijil penyertaan. Diharapkan kursus ini dapat membantu para peserta mengembangkan perusahaan ternakan ketam bakau secara lebih sistematik, produktif dan mampan, sekali gus menyokong usaha Jabatan Perikanan Sabah dalam memperkukuh pembangunan sektor akuakultur negeri.


