Jabatan Perikanan Sabah memandang serius isu penguatkuasaan dan pemeliharaan sumber perikanan

Jabatan Perikanan Sabah memandang serius isu penguatkuasaan dan pemeliharaan sumber perikanan

09/01/2026 Off By Web Master

SEMPORNA, 7 Januari 2026 – Jabatan Perikanan Sabah memandang serius isu tular di media sosial baru-baru ini berhubung aduan awam terhadap tindakan pelancong asing yang didakwa mengganggu dan merosakkan ekosistem marin di Pulau Mataking, Semporna. Isu tersebut melibatkan perlakuan memegang dan mengusik hidupan akuatik yang dilindungi, termasuk spesies penyu sisik (Eretmochelys imbricata) serta tumbuhan akuatik dan terumbu karang.

Susulan kejadian tersebut, Jabatan Perikanan Sabah yang diwakili oleh Pegawai Wilayah Tawau, Encik Mohammad Rizal Socradji, bersama beberapa anggota penguatkuasa perikanan dari Daerah Tawau dan Daerah Semporna telah menjalankan siasatan lanjut dan mengadakan pertemuan dengan syarikat yang membawa pelancong asing berkenaan, iaitu Borneo Speedy Dive & Tour Sdn. Bhd.

Dalam sesi siasatan, video tular tersebut telah diperlihatkan kepada Encik Mohammad Rizal Socradji. Wakil pihak syarikat memaklumkan bahawa pihak mereka telah membuat laporan polis bagi menyangkal dakwaan tersebut, bagi menjaga nama baik syarikat. Selain itu, pihak syarikat turut menyatakan bahawa taklimat serta prosedur aktiviti menyelam telah diberikan kepada setiap pelancong sebelum aktiviti dijalankan. Walau bagaimanapun, Jabatan Perikanan Sabah ingin menegaskan bahawa sebarang kecuaian, kelalaian atau kegagalan memantau aktiviti pelancong yang boleh menyebabkan gangguan terhadap hidupan marin yang dilindungi adalah satu perkara yang serius dan boleh mengundang tindakan undang-undang.

Jabatan Perikanan Sabah telah memberikan penerangan dan penegasan kepada pihak syarikat berhubung undang-undang serta peraturan-peraturan perikanan yang wajib dipatuhi semasa menjalankan aktiviti berkaitan. Pihak syarikat juga diingatkan agar sentiasa memantau pelancong dan memastikan mereka tidak melakukan sebarang aktiviti yang boleh mengganggu, merosakkan atau menjejaskan ekosistem hidupan marin yang dilindungi, termasuk larangan penggunaan alat menangkap ikan yang diharamkan.

Selain itu, pelancong asing yang terlibat turut diberikan surat amaran keras supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan perikanan serta tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh memberi kesan buruk terhadap ekosistem marin dan dimaklumkan bahawa sebarang pelanggaran pada masa akan datang akan menyebabkan tindakan undang-undang diambil tanpa kompromi.

Mana-mana individu yang didapati melanggar peruntukan berkaitan boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali, di bawah Akta Perikanan 1985 (Akta 317) dan Peraturan-Peraturan Perikanan 1999.

Jabatan Perikanan Sabah turut menggalakkan masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kepada Pejabat Perikanan yang berhampiran bagi membantu usaha penguatkuasaan dan pemeliharaan sumber perikanan serta ekosistem marin negeri Sabah.