KURSUS ASAS TERNAKAN LOKAN
03/10/2025 Off By Web MasterTuaran, 12 September 2025 : Kursus Asas Ternakan Lokan anjuran Jabatan Perikanan Sabah telah berlangsung pada 8–12 September 2025 di Stesen Pengembangan Akuakultur Marin Trayong, Tuaran, Sabah. Program lima (5) hari ini bertujuan memberi pendedahan dan latihan praktikal kepada peserta mengenai teknik ternakan lokan secara mampan, pengurusan operasi ternakan, serta pemasaran hasil.
Peserta terdiri daripada masyarakat dan penduduk yang terlibat dalam aktiviti akuakultur dari daerah Kota Belud, Kudat dan Pitas. Golongan sasar termasuk nelayan tradisional, penternak secara kecil-kecilan dan anggota kumpulan sokongan komuniti yang berminat mengembangkan pendapatan menerusi ternakan lokan.
Latihan dikendalikan oleh tenaga pengajar berpengalaman seperti Pn. Nafifah Triana Jamaludin, Pn. Malisa Manson dan Dr. Noorsyarinah Sanudin. Modul kursus merangkumi biologi lokan, penyediaan tapak ternakan, pengurusan operasi ternakan, kawalan penyakit serta aspek keselamatan dan kelestarian alam sekitar.
Sebagai sebahagian daripada program, peserta telah melakukan lawatan teknikal ke Projek Ternakan Lokan dan Tiram Kg. Lentoung, Tuaran untuk melihat pelaksanaan amalan terbaik serta bertukar pengalaman dengan pengusaha bimbingan Jabatan Perikanan Sabah. Lawatan ini diharap memberi gambaran nyata tentang cabaran dan peluang dalam usahaniaga ternakan marin khususnya.
Jabatan Perikanan Sabah menggalakkan penyertaan komuniti setempat untuk memperkukuh kapasiti sumber manusia dalam sektor akuakultur dan membantu mempelbagaikan sumber pendapatan golongan sasar. Kepada pihak berminat, boleh menghubungi pejabat Jabatan Perikanan Sabah yang berhampiran untuk maklumat lanjut.
Dengan penganjuran kursus ini, diharapkan dapat terhasil jaringan usahawan ternakan lokan yang cekap, berdaya saing dan mempraktikkan amalan mesra alam bagi menjamin kelestarian sumber dan kesejahteraan komuniti pesisir.


