Tuaran, 26 September 2025 – Satu siri Kursus Asas Ternakan Ketam Bakau anjuran Jabatan Perikanan Sabah telah berjaya dijalankan pada 22 – 26 September 2025 bertempat di Stesen Pengembangan Akuakultur Marin Trayong, Tuaran. Kursus selama lima (5) hari ini disertai oleh peserta dari daerah Tuaran, Papar, Kudat dan Lahad Datu.
Sebagai sebahagian daripada pengisian kursus, peserta turut berpeluang menjalani latihan praktikal melalui lawatan ke Pusat Pembenihan Ikan Marin Sabah, Tanjung Badak, Tuaran. Lawatan ini memberi pendedahan lebih mendalam tentang aspek teknikal serta amalan terbaik dalam industri akuakultur khususnya penternakan dan pembenihan ketam bakau.
Kursus ini dibimbing oleh tenaga pengajar berpengalaman iaitu Pn. Nafifah Triana Jamaludin, En. Harris Palbis, En. Abdul Moksin Isnihi dan En. Mohd Fadzlini Ghani. Antara topik yang diketengahkan termasuklah teknik asas penternakan ketam bakau, pengurusan operasi ternakan, sistem ternakan serta peluang pasaran.
Jabatan perikanan Sabah komited dalam pelaksanaan kursus-kursus seperti ini yang mana bertujuan memperkasakan komuniti nelayan serta usahawan kecil dalam bidang akuakultur, seterusnya menyokong agenda pembangunan ekonomi perikanan negeri Sabah.