SAMBUTAN HARI INOVASI JABATAN PERIKANAN SABAH 2025
07/08/2025 Off By Web MasterKOTA KINABALU, 29 Julai 2025 – Jabatan Perikanan Sabah telah berjaya menganjurkan Hari Inovasi Tahun 2025 dengan penuh gemilang, yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Wisma Pertanian Sabah. Program ini menjadi platform penting bagi memupuk budaya inovasi dalam kalangan warga jabatan serta berkongsi pencapaian hasil pemikiran kreatif dan penyelesaian inovatif dalam sektor perikanan.
Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, YBhg Datin Dr. Shuhadah Hj Mustapha, dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada Jawatankuasa Penganjur yang dipengerusikan oleh Puan Lakinah Tangkoko, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan, dan semua warga jabatan atas komitmen dan semangat inovatif yang ditunjukkan. Ini merupakan penganjuran kali ke-2, dan diharap ianya kekal berterusan sebagai program tahunan Jabatan Perikanan Sabah.
Antara pengisian utama program adalah Konvensyen Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (HBKIK) yang menyaksikan penyertaan sebanyak 5 kumpulan dengan 6 projek pembentangan daripada pelbagai bahagian dan unit di bawah jabatan yang diselaraskan oleh Unit Kualiti & Pembangunan Organisasi. Konvensyen ini memberi peluang kepada kumpulan-kumpulan inovasi untuk membentangkan projek serta inisiatif yang telah memberi impak positif kepada organisasi dan kumpulan sasaran.
Panel penilai Konvensyen HBKIK diketuai oleh Yg Berusaha Encik Lawrence Kissol Timbalan Pengarah Perikanan (Operasi) dan dua orang panel jemputan daripada INTAN Kampus Sabah dan Mantan Jurutera JPS. Majlis turut diserikan dengan penyampaian anugerah kepada kumpulan terbaik Konvensyen HBKIK dan pameran inovasi serta pertunjukan video inovasi pemenang jabatan tahun lalu.
Disediakan oleh;
Unit Kualiti & Pembangunan Organisasi (UKPO)
Bahagian Khidmat Pengurusan


