Program Interaksi Bersama Nelayan Sipitang
13/07/2025 Off By Web Master10 Julai 2025 – Sipitang : Jabatan Perikanan Sabah menerusi Bahagian Pelesenan dan Permit telah melaksanakan Program Pelesenan Bergerak bagi memudahkan urusan komuniti nelayan luar bandar tanpa perlu ke pejabat utama.
Program dinamakan Interaksi Bersama Nelayan Daerah Sipitang ini berlangsung selama tiga hari bermula 8 hingga 10 Julai di tiga lokasi iaitu di Pangkalan Nelayan Kg. Kuala Mengalong, Jeti Jul Arsat Kg. Tanjung Pagar dan Pangkalan Nelayan (Deraman) Kg. Pelakat, Sipitang.
Program ini turut berkerjasama dengan agensi lain seperti Pejabat Daerah Sipitang, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS), PERKESO, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk lesen perikanan, pelesenan bot, permohonan caruman PERKESO dan sesi interaksi langsung bersama nelayan.
Program ini berjaya menarik penyertaan lebih 100 nelayan dari 25 kampung sekitar Sipitang, sekaligus mengukuhkan hubungan antara agensi kerajaan dengan komuniti nelayan tempatan. Kejayaan ini membuktikan komitmen kerajaan dalam membawa perkhidmatan langsung kepada rakyat di kawasan luar bandar.


