OPS. Todak telah dilaksanakan oleh Pangkalan Utama Wilayah Tawau bermula 14 sehingga 17 Januari 2025 di daerah Semporna.
27/01/2025 Off By Web MasterSEMPORNA, 20/01/2025 – Ekoran daripada isu-isu dan laporan yang diterima berkenaan pelanggaran Undang-undang dan Peraturan-peraturan Perikanan kebelakangan ini, operasi penguatkuasaan yang dinamakan OPS. Todak telah diselaraskan melalui Pangkalan Utama Wilayah Tawau bermula 14 sehingga 17 Januari 2025 baru-baru ini.
Operasi kali ini tertumpu dibeberapa kawasan laut dan darat yang dikenalpasti terdapat aktiviti perikanan yang melanggar Undang-undang dan Peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Antara kawasan sasaran semasa operasi ini dilaksanakan adalah resort resort pelancongan sekitar daerah Semporna, kawasan aktiviti penangkapan ikan bagi kapal komersial, Pasar Awam dan juga premis-premis yang menjual hasil perikanan sekitar daerah Semporna dan Kunak.
Semasa operasi ini dijalankan, beberapa resort sekitar daerah Semporna telah diperiksa dan pemilik telah diberikan penerangan berkenaan Undang-undang dan Peraturan peraturan Perikanan yang wajib dipatuhi semasa menjalankan aktiviti pelancongan seperti tidak mengganggu ekosistem hidupan laut yang dilindungi dan juga larangan menggunakan alat-alat menangkap ikan yang diharamkan atau tidak memiliki lesen. Selain itu, dalam operasi ini juga anggota penguatkuasa perikanan telah mengarahkan pemilik kelong untuk membuka semula struktur binaan kelong tersebut kerana dibangunkan secara haram tanpa suatu lesen yang sah yang dikeluarkan daripada Jabatan Perikanan Sabah.
Operasi kali ini mencatatkan 1 tangkapan kapal komersial pukat jerut bilis atas kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 melanggar syarat lesen iaitu beroperasi di kawasan kurang daripada 1.5 Batu Nautika dari pantai atau daratan yang terhampir. Selain itu, rampasan turut dijalankan terhadap ikan pelbagai jenis dianggarkan seberat 55kg yang disyaki telah ditangkap dengan menggunakan bahan letupan atas kesalahan di bawah Seksyen 26(1)(c) dalam akta yang sama.
Bagi tahun 2025, Unit Penguatkuasaan Pangkalan Utama Wilayah Tawau akan terus melipat gandakan operasi penguatkuasaan dalam memperkasa Undang-undang dan Peraturan-peraturan sepertimana di dalam Akta Perikanan 1985 (Akta317). Masyarakat adalah digalakkan untuk menyalurkan sebarang maklumat yang berkaitan ke Pejabat Perikanan yang berhampiran bagi membantu usaha-usaha Jabatan Perikanan Sabah dalam melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan.


