1,530 Mahkluk Perosak COT Dimusnahkan

1,530 Mahkluk Perosak COT Dimusnahkan

13/01/2018 Off By Admin

SEMPORNA: Jabatan Perikanan Sabah (Perikanan) berjaya memusnahkan sebanyak 1,530 ekor makhluk perosak Mahkota Duri (COT) pada Selasa dan Rabu, dalam usaha menyelamatkan habitat terumbu karang daripada terus terancam di perairan daerah ini.

SELAMATKAN TERUMBU KARANG: Seramai 30 penyelam bertauliah menyertai operasi memusnahkan COT di perairan Semporna yang pertama kali dilaksanakan.

Dalam operasi itu, Perikanan menggunakan kaedah suntikan ubat ke badan pemangsa yang boleh menyebabkan kematian spesies terbabit dalam tempoh 24 jam di dalam air laut.

Pengarah Perikanan Sabah Dr Ahemad Sade berkata, usaha itu dijalankan melalui kaedah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dan disertai seramai 30 penyelam bertauliah.

“Usaha membersihkan terumbu karang yang diancam COT ini juga dijalankan bersama Taman-Taman Sabah, Inno Resource Dev Sdn Bhd dan Seahorse Adventure Sdn Bhd.

“Antara kawasan tumpuan dalam operasi pembasmian COT fasa pertama ini meliputi perairan Singgahmata, Mantabuan dan Sibuan,” katanya di sini pada Khamis.

Ahemad berkata makhluk perosak terbabit perlu dikawal kerana jika tidak, COT boleh mengakibatkan kemusnahan sehingga 40 peratus kawasan terumbu karang.

Kemusnahan akibat COT juga boleh menjejaskan industri pelancongan, justeru usaha mengurus dan memastikan ekosistem terumbu karang dipelihara perlu dilaksanakan.

“Ekosistem terumbu karang amat penting khususnya di persekitaran marin kerana menjadi tempat pelbagai speses ikan makan, membiak, membesar dan berlindung.

“Ekosistem terumbu karang penuh dengan keunikan flora dan fauna akuatik, selain keindahan alam semulajadinya dengan air jernih sebagai tarikan pelancongan,” katanya.

Menurutnya, usaha terbabit akan terus dilaksanakan untuk memastikan terumbu karang di perairan Sabah sentiasa sihat dan subur untuk memastikan kelestariannya tetap terpelihara.

Ahemad merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan berharap operasi terbabit akan diteruskan lagi dan ditingkatkan pada masa akan datang. Sumber Utusan Borneo