BENGKEL HORIZON BAHARU INOVASI & KREATIF (KIK) JABATAN PERIKANAN SABAH

BENGKEL HORIZON BAHARU INOVASI & KREATIF (KIK) JABATAN PERIKANAN SABAH

14/03/2023 Off By Web Master

Kumpulan Inovasi & Kreatif Jabatan Perikanan Sabah pernah mendapat JOHAN sebanyak 2 kali dalam penyertaan konvensyen di peringkat negeri Sabah. Penasihat Projek KIK adalah En. Azhar Kassim yang pada masa tersebut merupakan Timbalan Pengarah Perikanan (Pembangunan) dan Fasilitator Jabatan Puan Anita A. Roman.

Pada tahun 2015, KIK Jabatan telah mendapat JOHAN Kategori Teknikal (Negeri) melalui Kumpulan AGAL di bawah tajuk Projek “KAEDAH PENANAMAN RUMPAI LAUT YANG KURANG EFISIEN DI KG. LOOK BUTUN, SEMPORNA, SABAH” sempena Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam dan telah mewakili negeri Sabah ke peringkat antarabangsa dan di peringkat MPC telah mendapat anugerah 3 EMAS. Kumpulan AGAL pada masa tersebut telah diketuai oleh En. Irman Isnain.

Projek KIK Horizon Baharu pada tahun 2021 ini merupakan kesinambungan projek pada tahun 2015 dengan memfokuskan standard yang diperlukan dalam pengesportan rumpai laut kering iaitu MyGAP dan HACCP ke luar negara. Kumpulan yang diketuai oleh En. Mohd. Rizal Socradji telah meneruskan usaha kesinambungan projek KIK yang terdahulu dan telah menghantar penyertaan sempena Pertandingan Anugerah Inovasi Sektor Awam peringkat negeri dan berjaya mendapat JOHAN – Kategori Teknikal buat kali kedua dengan tajuk Projek “MEJA PENJEMURAN RUMPAI LAUT”.

Bagi menubuhkan kumpulan dan memantapkan lagi kumpulan sedia ada, Jabatan Perikanan Sabah melalui Pejabat Pengurusan Wilayah Dan Perhubungan Awam telah menganjurkan Bengkel Horizon Baharu Kumpulan Inovatif & Kreatif selama 3 hari pada 7 – 9 MAC 2023 dengan penceramah jemputan daripada MAMPU, Sabah bertempat di Perpustakaan Negeri Sabah (Cawangan Tanjung Aru). Seramai lebih 40 orang pegawai dan anggota daripada Pejabat-Pejabat Perikanan Daerah mewakili 6 buah wilayah telah menyertainya. Bengkel ini telah berjaya menubuhkan 5 kumpulan baharu, menjadikan jabatan kini mempunyai 6 buah KIK dan 7 projek KIK telah dibentangkan.

Penganjuran Bengkel ini telah dirasmikan dan ditutup secara rasmi oleh Encik Ruzlee Jumatin selaku Penolong Pengarah Pejabat Pengurusan Wilayah Dan Perhubungan Awam merangkap Pengerusi Penganjur. Dalam petikan ucapan perasmian beliau, tujuan bengkel adalah untuk memupuk dan menyemarakkan budaya kreatif dan inovatif di kalangan warga jabatan supaya dapat menyumbang kepada peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan Jabatan serta memberi peluang kepada warga jabatan menggilap kebolehan dan meningkatkan kompetensi diri.

Penubuhan kumpulan dan projek-projek baharu KIK akan menyertai Konvensyen Inovasi Jabatan Perikanan Sabah buat julung kalinya yang dijangka diadakan pada tahun 2023. Kumpulan dan Projek KIK yang berpotensi akan diketengahkan dalam Pertandingan iSAS (Majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam Sabah) peringkat negeri Sabah serta beberapa penganjuran pertandingan yang berkaitan, kata beliau mengakhiri ucapan perasmian penutupan bengkel.

 

Disediakan oleh;
Unit Kualiti & Inovasi
Pejabat Pengurusan Wilayah & Perhubungan Awam