Bengkel Pemantapan & Kesedaran Pelaksanaan MS ISO 9001:2015

Bengkel Pemantapan & Kesedaran Pelaksanaan MS ISO 9001:2015

27/02/2023 Off By Web Master

Jabatan Perikanan Sabah telah dipersijilkan MS ISO pada tahun 2014 sehingga kini oleh SIRIM QAS International Sdn. Bhd. dengan skop Pembangunan Dan Pengurusan Industri Perikanan Di Sabah Secara Lestari merangkumi keseluruhan program dan aktiviti jabatan di semua peringkat pengurusan di tiga (3) buah lokasi, iaitu; Ibu Pejabat Wisma Pertanian, Kompleks Perikanan Likas dan Pusat Pengembangan Perikanan Manggatal.

Sejak tahun 2018 sehingga tahun 2022, Jabatan berjaya mengekalkan kecemerlangan dengan ZERO NCR setiap kali pengauditan bersama dengan SIRIM QAS International Sdn Bhd. Untuk memastikan pensijilan MS ISO sentiasa dipatuhi, Program Pemantapan & Kesedaran Pelaksanaan MS ISO selama 3 hari wajib dilaksanakan setiap tahun dan disertai oleh pasukan MS ISO bagi memastikan pegawai dan anggota yang terlibat adalah lebih kompeten.

Bersesuaian dengan Pensijilan Semula MS ISO pada tahun 2023, pelaksanaan MS ISO ini telah diperluaskan sehinggalah ke peringkat 6 buah wilayah, iaitu; Beaufort, Sandakan, Tawau, Kudat, Pedalaman dan Kota Kinabalu untuk memastikan semua prosedur sentiasa dipatuhi dan meningkatkan keupayaan serta kualiti penyampaian perkhidmatan secara konsisten yang dapat memenuhi keperluan pelanggan jabatan.

Dalam Bengkel Pemantapan & Kesedaran Pelaksanaan MS ISO 9001:2015 yang telah diadakan pada 21-23 Februari 2023, seramai 60 orang kakitangan Jabatan daripada 16 bahagian/pejabat dan 6 buah Pejabat Perikanan (wilayah) telah hadir dan pemudahcara yang dilantik adalah Tuan Hj Dzulkifli Hamzah. Bengkel ini telah dirasmikan pembukaan dan penutup oleh Ybrs. Tuan Ruzlee Jumatin, Penolong Pengarah Pejabat Pengurusan Wilayah & Perhubungan Awam selaku Pengerusi Penganjur sebagai wakil ketua jabatan.


Sumber;
Pejabat Pengurusan Wilayah & Perhubungan Awam
Jabatan Perikanan Sabah