Nelayan perlu kemuka surat kepada Jabatan Perikanan Sabah

Nelayan perlu kemuka surat kepada Jabatan Perikanan Sabah

04/03/2021 Off By Admin

KOTA KINABALU – Nelayan yang menghadapi masalah untuk menuntut elaun sara hidup di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) boleh mengemukakan surat kepada Jabatan Perikanan Sabah untuk tindakan lanjut.

Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Dr Ahemad Sade mengakui ada kelewatan sedikit berhubung mengeluarkan kad nelayan kepada nelayan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kini.

“Kami kini dalam proses mengeluarkan kad perikanan termasuk kad nelayan dan memang betul ada pembaharuan.

“Selesai PKP, baru diproses tetapi kami juga beri kelonggaran untuk cawangan di daerah mengeluarkan surat bagi memudahkan nelayan menuntut elaun mereka di LKIM,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Ahemad berkata, jika ada nelayan yang berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan surat, nelayan atau pihak LKIM juga boleh mengemukakan masalah itu kepadanya.

“Boleh minta surat (daripada cawangan Jabatan Perikatan Daerah) untuk mudahkan mereka kemukakan kepada LKIM dan boleh juga LKIM yang kemukakan surat untuk mudahkan pembayaran kepada nelayan,” katanya.

Sinar Harian melaporkan dakwaan kira-kira 300 nelayan di Sandakan tidak menerima elaun sara hidup nelayan sejak Disember lalu selepas kad nelayan mereka dikatakan sedang dalam proses pembaharuan.

Mereka mendakwa, masalah timbul disebabkan Jabatan Perikanan di daerah berkenaan kurang bertimbang rasa apabila enggan membantu nelayan mengeluarkan surat sebagai bukti kad nelayan sedang diproses untuk dikemukakan kepada LKIM bagi proses menuntut elaun sara hidup mereka.

Sumber Sinar Harian