Jabatan Perikanan Sabah meterai MoU dengan FIRA Korea

Jabatan Perikanan Sabah meterai MoU dengan FIRA Korea

24/03/2016 Off By Co Admin

KOTA KINABALU: Perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Jabatan Perikanan Sabah dengan Korea Fisheries Resource Agency (FIRA) mampu meningkatkan kerjasama dalam pengurusan sumber perikanan bagi kedua-dua pihak.

Presiden FIRA Korea Dr Kang Young Sil berkata sumber ikan perairan dunia semakin berkurangan disebabkan tangkapan berlebihan, pencemaran dan pengurusan yang tidak cekap.

“Keadaan sedemikian memberikan kesan negatif kepada negara yang bergantung kepada industri perikanan sebagai sumber makanan dan ekonomi.

“Pada masa kini, Republik Korea sedang berusaha mengekalkan sumber perikanan persisiran pantai dan usaha itu akan diteruskan agar mampu dinikmati oleh generasi akan datang,” katanya pada majlis MoU di sini kelmarin.

Kang berkata sistem pengurusan ikan bersepadu dan pemeliharaan perikanan pesisir pantai adalah penting agar mampu membekalkan sumber ikan yang berterusan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Sabah Dr Ahemad Sade berkata kerjasama Jabatan Perikanan dengan agensi berkaitan di Korea sudah berlangsung sejak 10 tahun lalu.

Katanya, talian persahabatan sememangnya sudah wujud sejak dahulu dan kerjasama khususnya dari segi penyelidikan dan pembangunan juga berlangsung.

“MoU kali ini adalah berkaitan kerjasama merangkumi pengurusan dan penerokaan sumber perikanan pesisir pantai.

“Ia melibatkan penambahbaikan sumber perikanan pesisir pantai menerusi penggunaan saintifik tukun tiruan dan penghutanan marin, pelepasan benih ikan dalam penternakan marin serta banyak lagi,” katanya.

Menurutnya, MoU yang diadakan dengan FIRA Korea adalah yang pertama kali diadakan khususnya dalam pengurusan sumber perikanan persisiran pantai.

Katanya, tujuan MoU itu adalah bagi mengukuhkan kerjasama di antara dua pihak melalui pelaksanaan projek kerjasama dari segi perkhidmatan juruperunding dan pertukaran teknologi yang berkaitan pembangunan pengurusan sumber perikanan secara mampan.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Datuk Ujang Sulani. Sumber The Borneo Post